Ibu bengang guru denda anak kesayangan cuci longkang


Prestasi akademi anak tidak memberangsangkan, mendorong si ibu menyerang seorang guru anaknya melalui aplikasi WhatsApp, lapor OhBulan!

Tiada adab dan tanpa soal selidik, guru dipersalahkan di atas masalah tersebut sehingga tergamak si ibu memberi guru itu amaran kerana mendenda anaknya mencuci longkang.

Difahamkan, pelajar berusia 16 tahun itu, Hazril Faizul, juga kerap ponteng kelas menyebabkan guru bernama Dhiya tiada pilihan lalu mendendanya mencuci longkang.



Perbualan WhatsApp di antara si ibu dan guru berkenaan kini viral di media sosial. Ramai netizen yang mengkritik tindakan si ibu yang menyerang Cikgu Dhiya dengan cara yang biadab.

“Tak hairanlah anak dia pun buat perangai di sekolah,” kata netizen.

Enggan beralah dan berterusan dipersalahkan, Cikgu Dhiya membuat pilihan untuk menjawab dan menjelaskan kepada si ibu tentang perangai anaknya di sekolah.


Hasilnya? Mungkin si ibu sedang menanam kepalanya di dalam tanah. Mungkin? – The Reporter

Senarai hukuman ke atas murid yang dilarang KPM

Susulan tersebarnya video seorang ibu yang berang apabila anaknya menjadi mangsa hukuman fizikal oleh seorang cikgu, orang ramai mula memberikan pelbagai reaksi terhadap perkara tersebut.

Dalam video berkenaan, wanita tersebut meluahkan perasaan tidak puas hatinya apabila anaknya ditampar dua kali oleh seorang guru hanya kerana bermain dengan bendera yang berada di sudut padang.

Tidak dapat dinafikan, pihak pentadbir sekolah dan para guru memainkan peranan penting dalam memupuk disiplin murid di sekolah bagi melahirkan insan yang mempunyai sahsiah dan akhlak yang baik.


Bagaimanapun, bukan mudah untuk mereka membentuk disiplin murid pada masa kini memandangkan isu ini agak sensitif untuk ibu bapa terutama apabila ia menyebabkan anak mereka menerima hukuman fizikal.

Isu disiplin sekarang perlu ditangani dengan hati-hati oleh setiap guru bagi memastikan mereka tidak melanggar pekeliling yang telah dikeluarkan oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).

Dengan kuasa terhad yang diperoleh guru sekarang menyebabkan masalah disiplin kini sukar dibendung memandangkan mereka perlu mengikuti Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah dikeluarkan pihak kementerian bagi memastikan kejadian tidak diingini dapat dielakkan.


Namun, kesukaran membendung masalah ini bukanlah alasan untuk guru-guru bertindak melulu dengan menampar murid seperti yang diceritakan wanita berkenaan berlaku ke atas anaknya.

Isu ini membolehkan kita melihat semula senarai yang dikeluarkan Unit Disiplin KPM berkenaan bentuk-bentuk hukuman yang dilarang untuk dilakukan oleh guru terhadap murid.

HUKUMAN TERHADAP FIZIKAL

Berdiri lama di tengah panas

Lari keliling padang

Berdiri lama dalam/luar bilik darjah

Memukul diri sendiri/sesama sendiri

Berdiri di atas kerusi atau meja

Menarik rambut/tarik telinga

Belasah dengan alat seperti tali pinggang atau pembaris

Junjung kerusi/buku

Cubit

Enjut / ketuk ketampi / mendada

Ketuk / sekel kepala

HUKUMAN TERHADAP MENTAL DAN EMOSI

Gunting Rambut

Berdiri membuat latihan

Berleter

Gantung tulisan di badan

Memalukan di khalayak ramai

Kelas tahanan pada waktu rehat

Memaki hamun

Conteng muka dengan kapur

Koyak buku latihan

Mengugut atau menggertak murid

Tidak menghiraukan murid

Tidak menanda buku latihan

Menerusi senarai tersebut, tindakan guru berkenaan memukul murid darjah empat itu sebenarnya melanggar peraturan yang telah dikeluarkan ini, kerana ia termasuk dalam hukuman berbentuk fizikal yang dilarang.

Tidak dapat dinafikan, beberapa perkara dalam senarai 23 larangan itu dianggap biasa pada zaman persekolahan dahulu terutama hukuman yang terletak dalam senarai emosi seperti berleter dan menggunting rambut murid.

Sebenarnya, senarai ini dikeluarkan disebabkan tindakan segelintir ibu bapa sekarang yang terlalu memanjakan anak mereka sehingga langsung tidak boleh ditegur guru apabila melakukan kesalahan.

Namun, tidak ibu bapa yang berperangai sebegitu, ada juga yang masih tegas dalam mendidik dan mempercayai guru-guru dengan membenarkan anak mereka diambil tindakan disiplin sekiranya benar-benar bersalah.

Apa yang penting di sini, kedua-dua pihak iaitu pihak pentadbir sekolah serta ibu bapa perlu sama-sama memastikan disiplin anak-anak muda ini terjaga.

Guru tidak boleh dengan sewenang-wenangnya menghukum anak murid tanpa sebab dan ibu bapa juga perlu lebih mempercayai dan bekerjasama dengan guru untuk membentuk disiplin anak-anak.–MYNEWSHUB.CC/EZ