Malaysia perlu Perdana Menteri baharu, Anwar Ibrahim paling layak
Negara memerlukan Perdana Menteri baharu susulan Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat gagal menguruskan pemerintahan dengan lancar sehingga mencadangkan pelaksanaan darurat.
Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Aizuddin Ariffin berkata, berdasarkan pemerhatian, rakyat kini mula hiilang keyakinan terhadap kepimpinan Muhyiddin.
Menurutnya, tindakan Kabinet diketuai Muhyiddin mencadangkan darurat jelas menunjukkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) terdesak untuk mengekalkan kuasa berbanding melihat kepada impak implementasi darurat.
“jika ditanya siapa paling layak pimpin negara dalam tempoh kemelut politik ini, saya cadangkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim paling sesuai berdasarkan pengalaman dalam politik mahupun pentadbiran negara. Beri peluang untuk Anwar buktikan beliau memang layak diangkat sebagai perdana menteri,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Dalam pada itu, Aizuddin yang juga Timbalan Ketua AMK Kedah berkata, ini dibuktikan dengan dapatan kajian Institut Darul Ehsan (IDE) yang mendapati majoriti rakyat menolak darurat.
“Keruntuhan sistem ekonomi negara meresahkan rakyat, bagaimana pengisytiharan darurat kesihatan boleh mengawal pandemik koronavirus (Cooviid-19) tatkala kerajaan mendakwa masih mampu mengawal wabak itu,” katanya.
Berdasarkan kajian IDE, pilihan terbaik untuk Malaysia ketika ini adalah dengan melantik Anwar sebagai Perdana Menteri.
Sebanyak 49.80 peratus (25,469) responden menyatakan sokongan supaya Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri, manakala 32.49 peratus (16,617 responden) mahu Muhyiddin kekal sebagai Perdana Menteri dan.
hanya 17.71 peratus (9,061 responden) mahu Parlimen dibubarkan serta diadakan pilihan raya umum.
Hasil kaji selidik itu juga mendapati, 77.39 peratus (39,587 responden) menolak darurat dan ini konsisten dengan kegusaran dilontarkan pemerhati politik.
Dapatan tersebut diperoleh menerusi pungutan pendapat bertajuk ‘Rakyat Malaysia Bersuara’ dijalankan secara elektronik pada 24 Oktober, melibatkan 51,147 responden pelbagai latar belakang.
Mengulas lanjut, Aizuddin mendakwa Muhyiddin sebagai pengecut untuk berdepan realiti sistem demokrasi berperlembagaan negara.
“Perkembangan mutakhir ini menguatkan lagi fakta kerajaan pimpinan Muhyiddin tiada lagi sokongan majoriti untuk memerintah negara. Sepatutnya, Kabinet PN fokus kepada usaha mengawal pandemik Cooviid-19 dengan menyalurkan keperluan kewangan, peralatan dan petugas barisan hadapan bukannya cetuskan polemik politik,” katanya.
Beliau turut mempersoal ke mana hiilangnya suara Pemuda Pas dan Pemuda UMNO berhubung keputusan Kabinet Muhyiddin mencadangkan darurat.
‘Ahli Parlimen BN dijangka tolak Muhyiddin’
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka tidak akan mendapat sokongan ahli-ahli Parlimen daripada Barisan Nasional (BN), kata sumber dalaman parti itu hari ini.
“Ini termasuk dalam kalangan 26 Ahli Parlimen BN yang diberikan jawatan oleh Muhyiddin. Mereka juga tidak akan memberikan sokongan kepada Perdana Menteri.
“Jadi mesyuarat ahli-ahli Parlimen BN hari ini tidak akan memihak kepada Muhyiddin apabila ramai Ahli Parlimen BN bertegas dengan pendirian tidak mahu menyokong Muhyiddin,” kata sumber terbabit.
Hari ini berlangsung mesyuarat membabitkan Ahli-ahli Parlimen BN di Menara Dato Onn di sini susulan keputusan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menolak cadangan darurat oleh Perdana Menteri semalam.
Antara yang dilihat hadir termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah dan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.
Turut kelihatan, Timbalan Speaker Dewan Rakyat yang juga Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said manakala Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan hadir lebih awal.
Untuk rekod, BN mempunyai seramai 39 Ahli Parlimen.
Dakwaan menjadi lebih kukuh apabila Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein turut membayangkan perkara sama ketika ditemui media sejurus tiba di Bangunan Dato Onn di sini sebentar tadi.
Beliau berkata, mesyuarat BN hari ini akan memberi tumpuan kepada gesaan agar Muhyiddin meletak jawatan sebagai Perdana Menteri berikutan kegagalannya untuk mengisytiharkan darurat.
“Itulah yang sedang kita bincangkan, namun saya ingin mendengar kedudukan BN terlebih dahulu,” katanya.