PLKN membazir, 43 peratus kos untuk sewa kem sahaja – Syed Saddiq


Kerajaan hari ini beritahu bahawa Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) akan diwujudkan semula.

Kata YB Ismail Sabri, PLKN ini tujuannya untuk semangat patrotisme. Tapi, ada beberapa perkara yang tidak diceritakan kepada orang ramai.

Pertama, PLKN adalah antara program kerajaan yang sangat mahal.


Apabila saya kata mahal, kos belanja untuk PLKN dari tahun 2004 telah cecah RM8.43 bilion. Ini jumlah yang terlalu besar untuk program 3 bulan.

Kedua, kita kena tahu bahawa separuh dari kos PLKN itu hanya untuk bayar sewa kem. Angka lebih tepat adalah 43% dari RM8.43 bilion adalah untuk sewa kem, bukan latihan dan kurikulum pelatih.


Saya juga tahu yang kerajaan perlu membayar sewa kem sepanjang tahun. Malah, saya pernah dedahkan bahawa ramai pemilik kem ini ada hubungan dengan parti pemerintah. Jadi, mereka dapat bayaran sewa yang mahal dan tidak patut.

Saya boleh juga senaraikan jumlah perbelanjaan setiap tahun untuk PLKN.

Tahun 2004- RM 608,611,160.34

Tahun 2005- RM 604,837.646.37

Tahun 2006- RM 688,242,515.94

Tahun 2007- RM 565,007,267.13

Tahun 2008- RM 643,280,274.87

Tahun 2009- RM 659,520,346.58

Tahun 2010- RM 601,266,849.82

Tahun 2011- RM 717,514,012.97

Tahun 2012- RM 691,516,980.34

Tahun 2013- RM 691,463,225.18

Tahun 2014- RM 697,205,276.73

Tahun 2015- RM 408,341,667.07

Adakah ini angka yang kecil?

Mengapa kem kepimpinan pelajar menelan belanja lebih setengah bilion setiap tahun?

Adakah rakyat mahu wang mereka digunakan untuk program 3 bulan sebegini?

Ketiga, adakah kerajaan tidak sensitif dengan masalah yang berlaku hari ini? Jangan gunakan alasan semangat patriotisme dan cintakan negara di dalam PLKN untuk mengalihkan pandangan masyarakat kepada masalah pengangguran, orang muda dibuang kerja, 266 lebih orang bunuh diri kerana tekanan PKP.

Ini masalah hari ini dan perlu dijawab hari ini.

Ada lebih 745 ribu orang menganggur. Adakah jawapannya, PLKN (yang kita tahu memang membazir?)

Cuba lebih prihatin dengan masalah hari ini, bukan umum projek berjuta-juta ringgit.

Keempat, ada tanya saya, “YB, ramai orang dibuang kerja apabila kerajaan tutup PLKN”. Ini juga pandangan yang tidak tepat.


Sewaktu saya menjadi Menteri, saya sendiri telah susun dan serapkan lebih 2,116 kakitangan JLKN di semua kementerian dan agensi kerajaan.

Kerajaan sediakan soft landing. Beri jawatan dan pekerjaan kerana kita tahu ramai yang ada tanggungan keluarga.

Tetapi, kalau jawapan kerajaan kepada krisis ekonomi, masalah pengangguran, akses pendidikan yang terhad waktu kuarantin dan syarikat kecil dan sederhana yang gulung tikar kerana COVID-19 adalah dengan mencadangkan PLKN diwujudkan semula, saya risau.

Ini bukan masanya untuk retorik projek mega dan bazirkan jutaan ringgit untuk sebuah program 3 bulan.

Ini masa untuk kerajaan sedar bahawa rakyat sedang susah, lapar dan sakit.